Asyraf nafi PM didesak campur tangan kes mahkamah

Rate this item
(0 votes)

 

Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki menafikan sebarang perbincangan mendesak Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob, mencampuri urusan mahkamah.

Dalam catatan Facebook hari ini, Asyraf berkata dia turut menghadiri mesyuarat berkenaan yang dihadiri ketua-ketua bahagian Umno, namun tiada agenda seumpanya dibangkitkan.

“Tiada langsung agenda perbincangan mendesak perdana menteri mencampuri urusan mahkamah apatah lagi seolah-olah wujud pertentangan di kalangan kepimpinan bahagian mengenainya.

“Apakah logik untuk mendesak perdana menteri campur tangan kes SRC yang sudah sampai ke peringkat Mahkamah Persekutuan?” kata Asyraf.

Asyraf mengulas laporan Astro Awani yang memetik sumber mendakwa sebahagian besar ketua bahagian Umno yang hadir mesyuarat itu menolak cadangan agar perdana menteri mencampuri kes SRC.

Dalam ruangan komen pada hantaran itu, Asyraf berkata dia akan mengemukakan cadangan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Astro Awani.

“Ya, saya akan bawa cadangan dalam mesyuarat pengurusan parti akan datang untuk mencadangkan agar memulakan saman ke atas Awani yang melaporkan berita palsu tanpa asas yang menimbulkan prasangka negatif dan buruk kepada Umno,” kata Asyraf.

Asyraf mendedahkan pertemuan itu kebanyakannya membincangkan isu berkaitan pilihan raya umum akan datang.

“Apa yang boleh saya kongsikan secara umum, perbincangan tadi lebih kepada isu-isu mengenai PRU-15,” katanya.

Terdahulu, ketua-ketua bahagian Umno di seluruh negara diminta menghadiri pertemuan khas di ibu pejabat parti itu di WTC KL.

Sejumlah pemimpin atasan Umno turut dilihat hadir, termasuk Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi; timbalannya, Mohamad Hasan, dan naib presiden Mohamed Khaled Nordin.

Bagaimanapun, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakon yang juga memegang jawatan naib presiden Umno tidak kelihatan.

Perkembangan itu hadir di tengah khabar angin berhubung pilihan raya selain prosiding akhir kes SRC International melibatkan Pengerusi Lembaga Penasihat BN Najib Razak di Mahkamah Persekutuan.

Read 384 times